
Apa itu stablecoin?
Stablecoin ialah sejenis mata wang kripto yang nilainya diikat kepada aset lain yang secara relatifnya dianggap lebih ‘stabil’ seperti dolar Amerika Syarikat, euro atau emas.
Kebanyakan mata wang kripto terbesar mengikut modal pasaran adalah sangat tidak stabil. Ramai beranggapan yang aset seperti ini sukar digunakan sebagai kaedah pembayaran kerana nilainya yang sentiasa berubah. Sebagai contoh, nilai satu Bitcoin pada suatu ketika dahulu, hanya cukup untuk membeli satu bar coklat pada tahun 2010, tetapi Bitcoin yang sama hari ini nilainya mungkin setanding dengan harga sebuah kereta. Terdapat juga mata wang kripto lain yang mana nilainya menurun seiring dengan kenaikan nilai Bitcoin. Ketidakstabilan ini boleh menjadi cabaran besar, kerana sebagai pembeli, anda pasti inginkan aset yang stabil untuk anda gunakan dalam sesuatu transaksi.
Stablecoin menawarkan alternatif yang dapat mengurangkan ketidakstabilan nilai mata wang kripto, sekali gus menjadikannya lebih sesuai untuk kegunaan harian. Dengan kelebihan seperti pembayaran tanpa sempadan, yuran transaksi yang rendah, pilihan penjagaan kendiri, serta gabungan kestabilan mata wang fiat konvensional dengan fleksibiliti aset digital, stablecoin semakin menjadi pilihan jutaan pengguna di seluruh dunia. Untuk memahami sebabnya, mari kita fahami terlebih dahulu bagaimana stablecoin berfungsi.
Adakah Bitcoin merupakan stablecoin?
Bitcoin (BTC) bukanlah stablecoin. Stablecoin direka dengan tujuan untuk mengekalkan nilai yang stabil dengan disandarkan pada mata wang fiat atau aset lain seperti emas. Sebaliknya, nilai Bitcoin sentiasa berubah-ubah jika dibandingkan. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Bitcoin, sila klik di sini.
Apa yang boleh kita lakukan dengan stablecoin?
Stablecoin dilihat sebagai aset yang berpotensi besar di atas kertas, namun, apakah kegunaannya yang sebenar? Adakah ia cukup praktikal untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian? Jawapannya adalah ya. Berikut disenaraikan beberapa cara di mana kita boleh menggunakan stablecoin:
- Menyimpan nilai: Berbanding dengan mata wang kripto tradisional yang nilainya tidak menentu, nilai stablecoin biasanya kekal konsisten dengan aset yang diindekskan kepadanya. Ini membolehkan pemegang stablecoin menggunakannya untuk menyimpan nilai.
- Perdagangan aset: Apabila melakukan dagangan mata wang kripto, pengguna boleh menggunakan stablecoin sebagai pasangan dagangan, yang dapat membantu mereka mengekalkan nilai dan mempunyai korelasi yang lebih praktikal terhadap nilai mata wang kripto.
- Menjana faedah: Dengan meminjamkan stablecoin, pengguna boleh menjana faedah. Namun, perlu diingatkan bahawa perkhidmatan 'staking' atau penguncian aset kripto ini, selalunya berisiko dan tidak dibenarkan di sesetengah negara. Pastikan anda menilai semua risiko sebelum menggunakan perkhidmatan sebegini.
- Pemindahan wang pada kos rendah: Pengguna tidak perlu membayar yuran pemindahan wang yang tinggi untuk menghantar wang merentasi sempadan. Memandangkan stablecoin beroperasi pada rantaian yang mempunyai caj yang rendah, kos transaksi boleh menjadi serendah beberapa sen sahaja. Tambahan pula, stablecoin tidak memerlukan akaun bank untuk menghantar wang ke seluruh dunia.
- Pindahan wang antarabangsa: Yuran transaksi yang rendah dan pemprosesan yang pantas bermakna seseorang tidak perlu menunggu lama untuk menghantar atau menerima wang merentasi sempadan. Stablecoin menawarkan cara yang pantas dengan kos yang berpatutan bagi pindahan wang secara global tanpa proses yang merumitkan. Kos menghantar $200 ke luar negara menggunakan stablecoin boleh menjadi kurang dari $0.10, berbanding purata caj global sebanyak $12 yang dipindahkan melalui kaedah tradisional.
Bagaimana stablecoin bertindak sebagai pelindung nilai terhadap inflasi?
Banyak mata wang fiat tradisional terdedah kepada inflasi, terutamanya dalam ekonomi yang mempunyai kadar faedah tinggi. Sebaliknya, mata wang seperti dolar AS dan euro menunjukkan ketahanan yang lebih baik terhadap inflasi sepanjang 20 tahun yang lalu. Stablecoin seperti Tether dan USDC dipautkan kepada dolar AS, yang bermaksud ia berpotensi mengalami kadar inflasi yang lebih rendah berbanding mata wang tempatan. Individu boleh menukar wang mereka kepada stablecoin untuk terdedah hanya kepada kadar inflasi dolar AS, sekali gus membantu mengekalkan nilai wang mereka dengan lebih baik.
Hasilnya, stablecoin membolehkan pengguna memiliki peluang penyimpanan nilai yang sama seperti pemegang Dolar US, tidak kira di mana mereka berada. Mana-mana individu boleh menggunakan stablecoin untuk transaksi harian asalkan mereka mempunyai akses kepada internet.
Apakah jenis-jenis stablecoin?
Stablecoin hadir dalam pelbagai jenis. Setiap satunya menggunakan mekanisme tertentu untuk menstabilkan nilainya.
Stablecoin yang disandarkan kepada mata wang fiat bertujuan mengekalkan nisbah rizab 1:1 dengan mata wang rujukannya. Sebagai contoh, Tether dipautkan kepada dolar AS pada nisbah 1:1, yang bermaksud setiap unit Tether sepatutnya disokong oleh satu unit dolar AS, dan jumlah permodalan pasaran Tether juga perlu disokong sepenuhnya dengan aset pada nisbah 1:1
Mata wang digital bank pusat (CBDC) ialah versi elektronik bagi mata wang fiat. Perbezaan utama antara mata wang kripto sedia ada dan CBDC adalah CBDC disokong kerajaan dan dikeluarkan oleh bank pusat sesuatu negara. CBDC diikat kepada nilai mata wang pusat kerajaan yang mengeluarkannya.
Mari kita lihat pelbagai jenis stablecoin untuk memahami bagaimana ia disokong:
- Stablecoin bersandarkan fiat – Stablecoin jenis ini mengekalkan rizab mata wang fiat seperti dolar AS sebagai cagaran bagi memastikan nilainya kekal stabil.
- Stablecoin bersandarkan komoditi – Stablecoin jenis ini disokong oleh cagaran dalam bentuk logam berharga seperti emas dan perak, atau komoditi lain seperti minyak mentah.
- Stablecoin bersandarkan kripto – Stablecoin jenis ini dipautkan kepada mata wang kripto lain seperti Bitcoin atau Ether. Oleh kerana mata wang kripto rizab boleh menjadi tidak stabil, jumlah rizabnya perlu melebihi permodalan pasaran stablecoin tersebut. Pendekatan ini dikenali sebagai cagaran berlebihan (over-collateralization) bagi memastikan reka bentuk ekonominya kekal kukuh.
- Stablecoin algoritma – Stablecoin jenis ini menggunakan algoritma dan reka bentuk ekonomi untuk mengekalkan nilai pasaran yang konsisten. Walau bagaimanapun, stablecoin seperti ini masih belum terbukti dan tergolong dalam kategori berisiko tinggi. Banyak daripadanya telah kehilangan keseluruhan nilainya, menyebabkan kerugian bernilai berbilion dolar.
Apakah stablecoin paling popular?
Sekarang kita telah memahami tentang pelbagai jenis stablecoin dan bagaimana stablecoin ini berfungsi, kini tiba masanya untuk melihat stablecoin paling popular di pasaran.
Tether (USDT)
Dengan permodalan pasaran sekitar AS$65 bilion, Tether ialah stablecoin bersandarkan fiat yang paling popular di dunia. Ia juga merupakan stablecoin pertama yang diperkenalkan dalam pasaran kripto dan mencatat jumlah transaksi global tertinggi, justeru menjadikannya stablecoin paling cair di pasaran. Walau bagaimanapun, terdapat dakwaan bahawa USDT tidak disokong pada nisbah 1:1 seperti yang didakwa, meskipun perkara ini masih belum dapat dibuktikan.
USD Coin (USDC)
Seperti namanya, USD Coin dipautkan kepada nilai dolar AS. Ia merupakan stablecoin bersandarkan fiat, yang bermaksud seseorang boleh membeli satu USDC dengan harga AS$1 atau menebus satu USDC pada nilai AS$1 pada bila-bila masa. Pada waktu penulisan ini, terdapat sejumlah 55.8 bilion USD Coin yang sedang beredar di seluruh dunia.
Binance USD (BUSD)
Ketika ini, Binance USD merupakan stablecoin ketiga terbesar berdasarkan permodalan pasaran dengan nilai sekitar AS$17.5 bilion. Ia ialah projek stablecoin bersandarkan fiat yang diperkenalkan oleh platform pertukaran kripto Binance melalui kerjasama dengan Paxos. BUSD mengekalkan nisbah 1:1 dengan dolar AS.
Dai (DAI)
MakerDAO melancarkan Dai di blockchain Ethereum pada tahun 2017. Dai ialah stablecoin bersandarkan mata wang kripto yang menggunakan Ether (mata wang kripto pada platform Ethereum) sebagai cagaran, manakala nilainya dipautkan kepada dolar AS. Berbeza dengan stablecoin lain, DAI bersifat terdesentralisasi dan menggunakan kontrak pintar serta insentif sebagai mekanisme untuk mengekalkan ikatan nilainya.
TrueUSD (TUSD)
TUSD TrustToken ialah stablecoin bersandarkan fiat yang terdapat di blockchain Ethereum. Setiap token TUSD kini mengekalkan nisbah 1:1 dengan dolar AS. Pengguna boleh mencetak dan menebus token TUSD di laman web TrustToken's.
Apakah risiko stablecoin?
Stablecoin mungkin kelihatan seperti gabungan terbaik antara dua dunia. Namun, ia tetap mempunyai risikonya tersendiri.
- Depegging: Stablecoin direka untuk mengekalkan nilai tetap yang disokong oleh mata wang fiat. Stablecoin yang mengalami depegging merujuk kepada stablecoin yang nilainya jatuh daripada nilai asal yang sepatutnya dikekalkan. Luna merupakan contoh terbesar bagi kejadian ini, apabila kejatuhan nilai pegangannya yang menyebabkan pelabur kehilangan puluhan bilion dolar.
- Risiko kawal selia: Stablecoin, walaupun diikat kepada mata wang fiat, tetap terdedah kepada risiko kawal selia. Sebagai contoh, Meta, syarikat induk Facebook, pada mulanya merancang melancarkan stablecoin sendiri yang dinamakan Diem pada 2020. Namun, syarikat tersebut membatalkan pelancaran tersebut disebabkan kebimbangan dan bantahan daripada pengawal selia kewangan.
- Kurang ketelusan: Secara idealnya, rizab mata wang akan menyokong stablecoin dengan wang tunai atau aset selamat lain. Namun, tanpa pengawasan, sukar untuk mengetahui sama ada stablecoin benar-benar disokong seperti yang didakwa. Kekurangan sandaran boleh membawa kepada situasi buruk seperti kejatuhan TerraUSD, yang akhirnya memberi impak kepada keseluruhan pasaran kripto.
- Inflasi aset terpaut: Walaupun stablecoin direka untuk melindungi daripada inflasi, ia masih terkesan pada kadar inflasi aset yang menjadi sandarannya. Sebagai contoh, jika kadar inflasi dolar AS melebihi 9%, harga barangan akan meningkat — bermakna sesuatu yang dahulunya berharga AS$100 kini bernilai AS$109. Salah satu penyelesaian yang dicadangkan ialah flatcoin, iaitu mata wang yang nilainya disandarkan kepada sekumpulan barangan, sekali gus tidak mengalami inflasi. Walaupun flatcoin masih belum dilaksanakan, ia berpotensi menjadi medium pertukaran terbesar di dunia pada masa hadapan.
Sedia untuk membeli?
Membeli stablecoin merupakan langkah pertama untuk memasuki kebanyakan pasaran kripto. Berbanding hanya memerhati nilai mata wang kripto yang naik turun ketika membuat keputusan perdagangan seterusnya, stablecoin menawarkan cara untuk memastikan nilai pembelian kekal pada kadar yang hampir sama antara satu dagangan dengan yang lain. Walaupun stablecoin memberikan perlindungan yang baik daripada turun naik pasaran, potensi keuntungannya terhad kepada aset yang menjadi sandarannya. Pengguna mungkin dilindungi daripada kejatuhan nilai yang mendadak, namun mereka juga tidak boleh menjangkakan pulangan yang tinggi.
Worldcoin, merupakan satu mata wang kripto baru tetapi bukan stablecoin, yang bertujuan untuk memberikan pemilikan percuma kepada setiap manusia di Bumi tanpa menjejaskan privasi. Di Worldcoin, kami berhasrat meningkatkan pemerkasaan individu dan kesamarataan peluang di peringkat global. Langgan blog kami untuk berita dan maklumat terkini tentang dunia mata wang kripto!