Ejen AI kini dengan pantas menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian di internet. Bermula dengan membuat tempahan makan malam sehinggalah kepada membandingkan harga merentas pelbagai peruncit, ejen autonomi kini mula mengendalikan tugasan yang dahulunya memerlukan manusia di papan kekunci. McKinsey menjangkakan bahawa perdagangan berasaskan ejen sahaja akan mampu mencecah $3 hingga $5 trilion secara global menjelang tahun 2030. Bain pula menganggarkan ejen AI boleh menyumbang sehingga 25% daripada keseluruhan e-dagang Amerika Syarikat dalam tempoh masa yang sama.
Potensinya amat besar, namun cabarannya juga setanding: memandangkan ejen AI kini mula menjadi penggerak ekonomi dalam talian, bagaimanakah cara untuk menyuntik kepercayaan ke dalam sistem tersebut serta memberikan tahap kawalan tertentu terhadap tindakan ejen-ejen ini?
World kini bekerjasama dengan Coinbase bagi menangani cabaran ini melalui pengenalan AgentKit versi beta, sebuah primitif baharu untuk web berasaskan ejen, bukti manusia unik yang boleh diprogramkan.
AgentKit merupakan kit alatan pembangun pertama seumpamanya yang membolehkan manusia yang disahkan mendelegasikan World ID mereka kepada ejen AI. Buat pertama kalinya, pembangun boleh membina ejen yang membawa bukti kriptografi untuk manusia unik di belakangnya, yang kami gelarkan sebagai ejen bersandarkan manusia. Perbezaan bukti manusia unik ini memberikan lapisan kepercayaan tambahan untuk sesuatu interaksi dan transaksi. Pratonton pembangun AgentKit beta kini tersedia melalui https://docs.world.org/agents/agent-kit.
setiap ejen yang bersandarkan manusia mendapat 3 imej percuma
— Takis Kakalis (@takiskakalis) 17 Mac 2026
yang menggambarkan kod, sejarah dan citarasa anda
Perkara ini hanya mampu direalisasikan oleh World ID melalui AgentKit @worldnetwork https://t.co/dvgYOdB8Qn pic.twitter.com/LUYMMkTHkY
Web tidak mempunyai cara untuk membezakan ejen
Hari ini, kebanyakan laman web melayan semua trafik automatik dengan cara yang sama: mereka menyekatnya. Pendekatan ini munasabah kerana secara umumnya, kebanyakan bot berniat jahat. Bot-bot ini melayari laman web untuk mencuri data, menghantar borang spam, atau melancarkan serangan penafian perkhidmatan. Sekatan ini turut berlaku pada ejen AI walaupun sebahagian besar trafiknya adalah bersifat produktif pada hakikatnya. Apabila pembantu AI anda cuba untuk menempah meja di restoran atau menyemak harga tiket penerbangan bagi pihak anda, ia akhirnya menemui jalan buntu yang sama.
Protokol x402 yang baru muncul, dibangunkan oleh Coinbase dan Cloudflare, mencadangkan satu penyelesaian: membenarkan ejen membayar sejumlah kecil untuk mengakses sumber, dengan menggunakan pembayaran mikro sebagai pengehad kadar trafik. Ekosistem x402 telah berkembang pesat sejak pelancarannya pada tahun 2025, dengan menguruskan lebih 100 juta pembayaran merangkumi API, aplikasi, dan ejen AI dalam tempoh enam bulan pertama.
Pembayaran mikro sememangnya membantu. Protokol x402 merupakan asas yang kukuh bagi sistem pembayaran asal internet. Ia memperkenalkan mekanisme yang elegan untuk mengawal selia akses yang merangkumi API dan interaksi ejen, dengan cara menghapuskan kerumitan konfigurasi manual bagi peralatan LLM. Namun, kebanyakan kes penggunaan yang melibatkan pengehadan kadar trafik dan akses ejen memerlukan isyarat yang berbeza. Walaupun penetapan harga akses boleh memperlahankan pelaku berniat jahat, ia masih tidak mampu menangani dinamik serangan Sybil sepenuhnya. Jika insentif ekonomi untuk tindakan-tindakan ini adalah cukup tinggi—sama ada untuk melancarkan serangan DDoS terhadap laman web, memonopoli tempahan terhad untuk dijual semula, atau memanipulasi hantaran media sosial, kos untuk membayar beberapa sen bagi setiap permintaan adalah terlalu kecil berbanding keuntungan yang bakal diperolehi. Tambahan pula, sistem pembayaran sahaja tidak mampu mendedahkan jumlah individu sebenar di sebalik sekumpulan ejen tersebut. Seseorang individu boleh mengendalikan beribu-ribu ejen yang membayar secara berasingan, dan sesebuah laman web tidak akan mempunyai cara untuk membezakan mereka daripada seribu individu yang berbeza.
Kita sudah melihat senario ini berlaku dalam platform awal yang dipacu ejen. Di Moltbook contohnya, segelintir individu mampu mengerahkan sejumlah besar ejen untuk melonjakkan token tertentu dan memanipulasi metrik penglibatan. Tanpa kaedah yang dapat digunakan untuk mengesahkan jumlah sebenar individu di sebalik ejen-ejen tersebut, sesuatu platform tidak mempunyai kaedah yang berkesan untuk membezakan antara aktiviti organik dengan serangan terancang yang dikoordinasikan secara tersusun.
Selain itu, terdapat juga kebimbangan berkaitan privasi. Apabila setiap transaksi ejen berlaku melalui platform pembayaran awam, platform terbabit akan mencipta jejak terperinci bagi setiap destinasi dan tindakan ejen terbabit. Anda pasti tidak mahu rekod umum bagi semua laman web yang ejen anda lawati bagi pihak anda.
Apa yang diperlukan oleh web agentik
Bahagian yang hilang ialah keunikan. Laman web memerlukan cara untuk memastikan terdapat individu unik di sebalik ejen, tanpa perlu tahu siapa manusia itu.
Inilah yang disediakan oleh bukti kemanusiaan unik. World telah membina rangkaian manusia sebenar yang terbesar di dunia, dengan hampir 18 juta manusia yang telah disahkan di lebih 160 negara. Melalui World ID, seseorang individu kini boleh membuktikan secara kriptografi dan tanpa nama bahawa mereka adalah manusia unik tanpa mendedahkan sebarang maklumat peribadi mengenai diri mereka kepada sesiapa. Bukti yang sama kini boleh dilanjutkan kepada ejen mereka.
"Pembayaran adalah 'cara' perdagangan berasaskan ejen berfungsi, manakala identiti pula menentukan 'siapa' di sebaliknya;. Dengan mengintegrasikan World ID bersama protokol x402, pembangun kini mempunyai sistem kepercayaan yang lengkap: iaitu kaedah bagi ejen untuk membayar bagi keperluan mereka dan cara untuk platform mengesahkan bahawa terdapat manusia sebenar di sebalik dompet. Ini merupakan langkah besar ke arah mewujudkan web di mana ejen bukan sekadar trafik automatik sebaliknya sebagai peserta ekonomi yang sah," kata Erik Reppel, Ketua Kejuruteraan di Coinbase Developer Platform dan Pengasas x402.
Bagaimanakah AgentKit berfungsi?

Bagaimana AgentKit diintegrasikan dengan x402?
AgentKit dibina sebagai pelengkap tambahan kepada protokol x402 v2, melalui kerjasama bersama Coinbase. Integrasi ini direka sedemikian rupa supaya mana-mana laman web yang sudah menggunakan x402 boleh mengaktifkan pengesahan bukti manusia unik bersama (atau menggantikan) pembayaran mikro.
Bagaimana ejen AI membuktikan ia disokong oleh seorang manusia unik yang sebenar?
Prosesnya mudah. Pemegang World ID yang telah disahkan mendaftar ejennya melalui pengesahan standard World ID. Apabila ejen mengakses laman web yang menyokong x402, laman web boleh meminta pembayaran dan/atau bukti manusia unik di sebalik ejen itu. Jika ejen membawa bukti yang sah, ia akan memperolehi akses.
Bolehkah seorang individu mendelegasikan tugasnya kepada berbilang ejen?
Ya. Seorang individu boleh mewakilkan World ID mereka kepada berbilang ejen dan itu sememangnya sesuatu yang dijangkakan. Perkara yang paling penting ialah sesebuah laman web dapat melihat bahawa semua ejen tersebut berasal daripada individu unik yang sama. Jadi, jika seseorang mengerahkan seratus ejen untuk membanjiri sesebuah platform, laman web tersebut dapat mengenal pasti bahawa ia sedang berhadapan dengan individu yang sama dan menetapkan had yang sewajarnya.
Bagaimanakah bukti kemanusiaan berbeza berbanding pembayaran mikro sebagai pengehad kadar trafik?
Pembayaran hanya memberitahu anda bahawa seseorang sanggup membelanjakan wang. Bukti Kemanusiaan memberitahu anda berapa ramai individu sebenar yang terlibat. Untuk platform yang berdepan serangan Sybil, manipulasi atau lambakan ejen, perbezaan tersebut adalah sangat kritikal.
Apakah yang ditawarkan oleh AgentKit?
Implikasinya jauh melebihi hanya pencegahan spam.
Bayangkan situasi tempahan restoran. Tempat popular seperti Resy atau OpenTable boleh membenarkan ejen bersandarkan manusia menempah meja bagi pihak manusia yang disahkan, sambil menghalang scalper atau ulat tiket daripada mengerahkan ratusan ejen untuk membolot tempahan bagi tujuan jual semula. Platform tidak perlu mengenakan caj $20 bagi setiap permintaan untuk menyekat penyalahgunaan tersebut. Ia hanya perlu tahu bahawa setiap tempahan terikat kepada seorang individu unik. Logik yang sama juga boleh digunakan pada platform jualan tiket konsert.
Atau lihat pula pada aspek penemuan berita. Newsworthy membayar ejen untuk memaparkan perkara paling penting, tetapi tanpa bukti kemanusiaan unik, seorang pelaku sahaja cukup untuk membanjiri hantaran berita dengan isyarat yang terancang. AgentKit memastikan setiap isyarat kurasi dapat dijejak kembali kepada satu individu unik.
Pertimbangkan pula mengenai percubaan percuma. Hari ini, jika sesebuah laman web menawarkan akses percuma yang terhad melalui x402, mana-mana ejen yang mempunyai dompet digital boleh menyalahgunakan tawaran tersebut sehingga habis. Dengan AgentKit, sesebuah laman web boleh menawarkan lima permintaan percuma bagi setiap individu unik. Ini memberikan ejen keupayaan untuk menilai sesuatu perkhidmatan sebelum beralih kepada akses berbayar, di samping menghalang sebarang bentuk penyalahgunaan.
Nombor telefon juga merupakan satu lagi kes yang menarik. Ejen akan memerlukan nombor telefon untuk pengesahan dwi-faktor dan pendaftaran. Tanpa bukti kemanusiaan unik, beribu-ribu ejen boleh memperoleh nombor telefon tersendiri, sekaligus mengakibatkan bebanan melampau kepada infrastruktur telekomunikasi. Dengan AgentKit, sesuatu perkhidmatan boleh memastikan setiap individu unik hanya menerima satu nombor telefon yang dikongsi bersama untuk kesemua ejen mereka.
Bagi setiap kes yang disebutkan di atas, corak asasnya adalah sama. Bukti kemanusiaan memberikan isyarat kepercayaan yang diperlukan laman web untuk membenarkan kemasukan ejen, tanpa menjejaskan privasi pengguna atau mencipta dinamik ekonomi songsang.
Mempercepatkan web agentik, bukan sekadar melindunginya
Terdapat pengajaran yang lebih luas di sini daripada sekadar soal kepercayaan dan keselamatan. Tanpa cara untuk mengesahkan individu di sebalik ejen, laman web berasaskan ejen (web agentik) mungkin tidak akan akan berjaya sepenuhnya. Laman web tidak akan membuka platform mereka kepada trafik ejen jika mereka tidak mempunyai cara untuk mengurusnya. Setiap platform utama, daripada e-dagang ke media sosial hinggalah perkhidmatan kewangan, akan menghadapi persoalan yang sama: bagaimana caranya kita dapat membenarkan ejen yang produktif masuk sambil menghalang mereka yang berniat jahat?
AgentKit menyediakan asas untuk jawapan ini. Dengan memperluas Bukti Kemanusiaan kepada ejen, World membantu membina infrastruktur yang membolehkan internet agentik berkembang, berskala dan berfungsi.
Mulakan sekarang
AgentKit kini tersedia dalam versi beta terhad untuk pembangun yang sedang membina ejen dan memiliki World ID yang telah disahkan. Dokumentasi lengkap untuk perkara ini boleh didapati di docs.world.org/agents/agent-kit.
Versi beta ini dibina berdasarkan seni bina World ID sedia ada, manakala versi 1.0 yang lebih mantap telah dirancang selaras dengan pelancaran protokol generasi seterusnya. Buat masa ini, matlamat utama adalah untuk menyerahkan AgentKit ke tangan para pembangun, mengumpul maklum balas, serta membuktikan potensi yang bakal tercapai apabila bukti manusia unik diperluaskan ke lapisan ejen di internet.
Web agentik bakal tiba. Persoalan utama selama ini adalah sama ada infrastruktur sedia ada mampu menampung kepantasannya. AgentKit memberikan jawapan kepada persoalan ini.
Artikel berkaitan

Announcements ·
Product ·
Build once, deploy anywhere: MiniKit 2.0 is live for World developers

Announcements ·
Policy ·
A Safer Internet Starts with Proof of Human

Announcements ·
Apa itu Moltbook? Apa itu OpenClaw? Mengapa Bukti Kemanusiaan Kini Penting

Announcements ·
