Soalan Lazim
Pertanyaan Umum
Rangkaian Manusia Sebenar. Bukti kemanusiaan, kewangan dan perhubungan yang universal untuk setiap manusia.
Membezakan antara manusia dan AI dalam talian. Memberikan akses kepada sistem kewangan yang inklusif untuk semua. Serta menghubungkan manusia sebenar yang lain. Ia percuma untuk disertai dan dicipta untuk dimiliki oleh semua orang.
Teknologi sedang berkembang pesat dan manfaatnya wajar dinikmati serta dapat memajukan semua orang.
World diwujudkan supaya setiap manusia mendapat manfaat daripada era AI.
World ID
Apabila AI semakin maju, kita memerlukan satu kaedah yang inklusif dan boleh diskalakan untuk membezakan antara manusia dan bot. World ID adalah alat yang mudah dan selamat yang boleh digunakan untuk membuktikan anda adalah manusia unik tanpa berkongsi sebarang maklumat peribadi anda.
Anda boleh menggunakan World ID anda yang telah disahkan sebagai "bukti kemanusiaan" yang peribadi dan boleh diguna semula untuk mengakses perkara yang sepatutnya diakses oleh manusia sahaja, seperti aplikasi janji temu, permainan video, atau komuniti media sosial. World ID direka untuk kekal tanpa nama — tiada keperluan untuk memasukkan nama, tarikh lahir, alamat, atau sebarang maklumat pengenalan lain untuk menggunakannya.
World ID dibina di atas protokol sumber terbuka yang terdesentralisasi dan tidak memerlukan kebenaran. Ini bermakna tiada siapa yang memilikinya dan sesiapa sahaja boleh membina cara untuk berhubung dan berinteraksi dengannya. Matlamatnya adalah supaya World ID menjadi lapisan kepercayaan penting untuk Internet dan dalam masa yang sama dapat memperkasakan manusia untuk berkembang maju dalam era AI.
Untuk mengesahkan World ID anda, ikuti tiga langkah berikut:
- Langkah 1: Muat turun World App daripada Apple Store atau Google Play di negara yang tersedia.
- Langkah 2: Ikuti arahan yang diberikan untuk mencari Ruangan World atau Lokasi Orb, di mana anda boleh mengesahkan yang anda adalah manusia sebenar dan unik.
- Langkah 3: Dapatkan akses kepada World ID yang telah disahkan dalam World App dan gunakannya dalam pelbagai aplikasi harian tanpa perlu mendedahkan identiti anda.
Lebih banyak Orb sedang ditempatkan di seluruh dunia. Sila semak World App secara berkala untuk mendapatkan maklumat terkini tentang lokasi Orb yang berhampiran dengan anda.
Bukti pengesahan manusia yang dijana oleh Orb hanya melibatkan satu jenis data: iaitu imej mata dan muka anda. Ia tidak memerlukan nama, emel, jantina atau maklumat lain.
Imej iris mata digunakan untuk mengesahkan ciri kemanusiaan yang unik, manakala imej muka anda digunakan untuk pengesahan Face Auth, iaitu sebuah ciri keselamatan yang memastikan hanya individu yang mengesahkan World ID mereka di Orb sahaja yang boleh menggunakannya.
Berikut adalah langkah demi langkah tentang proses yang berlaku selepas anda mendaftar untuk World App:
- Orb akan mengambil imej resolusi tinggi bagi iris mata dan wajah anda.
- Orb menggunakan imej-imej ini untuk mengesahkan kemanusiaan anda dan menukarkan imej iris menjadi kod unik yang kemudiannya dipecahkan menjadi serpihan pengkomputeran berbilang pihak (MPC) yang rawak.
- Orb kemudian menghantar imej dan fragmen MPC ini ke peranti anda (pakej penjagaan peribadi anda) sebelum memadamkannya secara kekal.
- Peranti anda akan menghantar fragmen tersebut ke perkhidmatan AMPC untuk mengesahkan yang anda tidak pernah membuat pengesahan sebelum ini.
- World ID anda telah disahkan.
Sebahagian besar proses dan kod yang berkaitan dengan pengesahan kemanusiaan yang unik, termasuk AMPC dan apa yang berlaku di Orb adalah merupakan sumber terbuka dan ianya boleh dilihat dan diaudit oleh sesiapa sahaja di sini.
Tidak, anda hanya perlu mengesahkan World ID anda di Orb sekali sahaja.
Untuk menggunakan World ID anda yang telah disahkan, anda hanya perlu membuka World App pada telefon anda apabila sesebuah aplikasi atau laman web meminta anda membuktikan yang anda adalah manusia:
- Jika tersedia, anda akan melihat pilihan "Daftar masuk dengan World ID"
- Ketik pada pilihan tersebut, dan World App akan dibuka secara automatik pada peranti mudah alih anda; atau, jika anda menggunakan komputer, anda akan diminta untuk menunjukkan Kod QR kepada World App
- Semak permintaan dan luluskannya dengan satu ketikan mudah
Sesetengah aplikasi mungkin meminta anda melengkapkan pengesahan Face Auth; ini adalah langkah keselamatan tambahan yang berlaku secara setempat di telefon anda bagi memastikan hanya individu yang telah disahkan di Orb sahaja yang boleh mengakses World ID pada peranti tersebut.
Tidak. World ID direka untuk kekal tanpa nama. Apabila anda menggunakan World ID, contohnya, untuk membuktikan bahawa anda ialah manusia unik kepada perkhidmatan pihak ketiga, World ID anda tidak akan didedahkan kepada pihak ketiga tersebut. Melalui teknologi kriptografi yang dipanggil pembuktian sifar pengetahuan (ZKP), anda hanya membuktikan bahawa anda memiliki World ID yang sah. Selain itu, World ID anda tidak dihubungkan kepada Dompet World berpenjagaan sendiri anda — kedua-duanya mempunyai kunci kriptografi yang berfungsi untuk tujuan berbeza.
Setelah disahkan, World ID anda boleh digunakan dalam ratusan aplikasi dan perkhidmatan yang diintegrasikan dengan protokol World. Sama ada anda ingin:
- Bermain permainan dengan manusia sebenar
- Berjanji temu dengan manusia sebenar
- Membeli belah bersama manusia sebenar
- Menyertai undian yang disahkan bersama manusia sebenar
Setiap masa, prosesnya adalah sama: satu pengesahan yang mudah dan pantas sekali sahaja, yang dijana menerusi telefon bimbit anda.
World ID membolehkan anda untuk log masuk dan mengesahkan diri anda pada aplikasi web dan aplikasi mudah alih untuk membuktikan secara tanpa nama bahawa anda ialah manusia unik dan bukannya bot atau sistem AI. Dengan log masuk ke aplikasi dan perkhidmatan menggunakan World ID, anda tidak perlu mendedahkan sebarang maklumat peribadi seperti nama, nombor telefon, atau alamat e-mel anda. Aplikasi atau perkhidmatan tersebut hanya akan mengetahui anda ialah manusia unik; di samping itu, sebarang tindakan anda tidak dapat dijejak melalui World ID. Kini, penggunaan World ID tersedia melalui integrasi dengan Razer, Match Group, Okta Auth0, dan lain-lain.
Anda juga boleh menuntut produk dan perkhidmatan tertentu menggunakan World ID, terutamanya jika pihak ketiga ingin memastikan sesuatu produk atau perkhidmatan itu hanya boleh dituntut sekali sahaja oleh setiap manusia. Dengan menggunakan World ID, anda memberikan isyarat bahawa anda hanya menuntut sekali sahaja dan tidak boleh menuntut berulang kali.
Kegunaan Akan Datang: SDK World ialah sumber terbuka dan boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk membina di atas platform World. Kegunaan baharu akan terus muncul apabila lebih ramai pembangun menggunakan World ID sebagai lapisan pengesahan Bukti Kemanusiaan.
Kelayakan World ID membenarkan individu menambah salinan maklumat yang disulitkan daripada dokumen identiti keluaran kerajaan mereka (bermula dengan pasport dan ID nasional yang didayakan NFC) sebagai kelayakan di bawah World ID untuk membuktikan sesuatu perkara tentang diri mereka tanpa berkongsi maklumat asas tersebut dengan mana-mana pihak ketiga.
Dengan kelayakan ID yang disimpan pada peranti masing-masing, seseorang individu boleh membuktikan ciri tertentu melebihi dari sekadar membuktikan yang mereka ialah manusia sebenar dan unik — tanpa mendedahkan sebarang maklumat daripada ID mereka atau berkongsi butiran identiti yang tidak diperlukan. Sebagai contoh, pemegang World ID boleh membuktikan bahawa mereka memenuhi had umur yang ditetapkan oleh aplikasi temu janji tanpa perlu berkongsi tarikh lahir atau identiti mereka.
Tidak. Jika anda menggunakan World ID anda, anda tidak akan mendedahkan imej atau data yang diproses di Orb. World ID direka untuk membolehkan tindakan dilakukan secara tanpa nama. Pihak ketiga tidak boleh mengaitkan tindakan berbeza yang dilakukan menggunakan World ID seseorang melalui data World ID. Ia tidak dipautkan kepada Dompet World berpenjagaan sendiri anda. Sesiapa sahaja boleh menggunakan World ID yang telah disahkan sebagai "bukti kemanusiaan" mereka tanpa memberikan maklumat seperti nama, alamat emel, nombor telefon atau profil sosial.
World ID menawarkan kawalan yang tiada tandingan ke atas maklumat anda, termasuk Penjagaan Peribadi.
"Penjagaan Peribadi" bermaksud semua maklumat yang dijana di Orb ketika anda mengesahkan World ID anda (foto, metadata dan data terbitan, termasuk kod unik) hanya disimpan pada peranti anda. World Foundation, Tools For Humanity atau mana-mana syarikat pihak ketiga tidak akan dapat menyahsulitkan fail yang telah disulitkan semasa ia dihantar melalui pelayan mereka ke telefon anda. Sistem ini direka untuk memastikan data anda kekal selamat walaupun telefon anda digodam.
Apabila seseorang menggunakan World ID mereka, terdapat beberapa perlindungan privasi yang dikuatkuasakan bagi memastikan individu tersebut kekal tanpa nama.
Pertama, pembuktian sifar pengetahuan (ZKP) dapat mengesahkan seseorang itu adalah manusia unik tanpa berkongsi maklumat peribadi dengan pihak ketiga yang meminta pengesahan tersebut. ZKP juga melindungi maklumat berkenaan penggunaan World ID daripada dikesan merentasi aplikasi atau dikaitkan dengan mana-mana data biometrik.
World ID menggunakan protokol sumber terbuka yang dikenali sebagai Semaphore untuk memastikan yang data World ID itu sendiri tidak boleh dikaitkan dengan identiti seseorang termasuk semasa mereka berkongsi "bukti kemanusiaan" dengan aplikasi lain.
Ketahui lebih lanjut tentang ZKP (pembuktian sifar pengetahuan)
Anda boleh membuat sandaran akaun dengan mudah iaitu dengan memilih sandaran iCloud (iOS) atau Google Drive (Android) dalam World App.
Jika anda tidak dapat mencari jawapan kepada soalan anda dan masih mengalami masalah dengan isu tertentu, anda boleh menghubungi Pasukan Sokongan melalui World App > Tetapan > Sokongan > Hubungi Sokongan. Berikan maklumat selengkap mungkin dan lampirkan tangkapan skrin bagi membantu menjelaskan isu anda.
World ID dibina berasaskan protokol sumber terbuka yang bersifat tanpa kebenaran. Ini membolehkan sesiapa sahaja membina atau mengintegrasikannya ke dalam aplikasi dan perkhidmatan dalam talian, sama ada yang baharu mahupun sedia ada. Semua dokumen pembangun boleh diakses secara percuma oleh orang awam. Paling penting, penggunaan pembuktian sifar pengetahuan (ZKP) ketika mengesahkan World ID memastikan tiada pembangun pihak ketiga — termasuk aplikasi kerajaan — dapat mengetahui World ID mana yang dimiliki oleh seseorang atau menjejaki individu merentasi pelbagai aplikasi.
World App
Dengan World App, sesiapa sahaja boleh mendaftar untuk mendapatkan World ID yang disahkan melalui Orb, dan menggunakannya untuk mengesahkan tindakan dengan mudah (seperti log masuk ke laman web, aplikasi atau perkhidmatan) tanpa perlu berkongsi data peribadi seperti nama atau alamat emel. Anda juga boleh mengakses rangkaian Aplikasi Mini yang memanfaatkan utiliti World ID untuk kegunaan harian, merangkumi pelbagai bidang seperti permainan, kewangan, dan komuniti.
Dompet mata wang kripto berpenjagaan sendiri dalam World App turut membuka akses kepada kewangan terdesentralisasi untuk semua. Melaluinya, individu boleh menyimpan, menghantar, mendeposit, dan mengeluarkan mata wang kripto. Sebahagian daripada fungsi ini direalisasikan melalui kerjasama dengan penyedia perkhidmatan yang dipercayai, termasuk bursa berpusat dan pemproses pembayaran kripto yang menyokong World App pada platform mereka.
World App direka untuk digunakan oleh semua orang.
Pemegang World ID boleh menikmati transaksi tanpa gas di World App dengan pengalaman pengguna yang menekankan kesederhanaan serta mudah difahami, termasuk kepada mereka yang tidak pernah berinteraksi dengan dunia kripto. Daripada memuatkan semua fungsi kripto lanjutan, World App mengekalkan antara muka (UX) yang mesra dan intuitif untuk semua pengguna dengan hanya memaparkan bahagian ekosistem Ethereum dan World yang paling berguna dalam kehidupan seharian mereka.
Anda juga boleh mengakses rangkaian Aplikasi Mini yang memanfaatkan utiliti World ID untuk kegunaan harian yang merangkumi bidang seperti permainan, kewangan dan komuniti.
Dengan saiz sekitar 18MB, aplikasi asli untuk iOS dan Android ini jauh lebih kecil berbanding purata aplikasi dalam industri. Bagi memaksimumkan keterangkuman, aplikasi ini telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan menyokong sebahagian besar telefon pintar yang masih aktif di dunia (meliputi 98.2% peranti Android dan 94.5% peranti iPhone), termasuk beberapa model yang telah berusia lebih 10 tahun.
World App memanfaatkan kebolehsusunan Ethereum melalui rangkaian utama Optimism untuk menggabungkan beberapa protokol dan API sumber terbuka yang paling dipercayai dan berprestasi tinggi ke dalam satu aplikasi yang mudah digunakan.
Contohnya, dompet World menggunakan abstraksi akaun melalui kontrak Safe untuk meningkatkan keselamatan dan membolehkan transaksi tanpa yuran gas. Nama pengguna ENS menyokong pembayaran rakan-ke-rakan yang mesra dan mudah digunakan. Di lokasi yang tersedia, pertukaran WBTC dan WETH ke versi 'bridged' USDC Circle melalui protokol Uniswap membolehkan pengguna di seluruh dunia mempunyai akses berterusan kepada dolar digital yang disokong sepenuhnya. Penukaran matawang fiat-ke-kripto dan kripto-ke-fiat yang lancar di banyak negara disediakan oleh rakan kongsi yang dilesenkan atau berdaftar di seluruh dunia, termasuk Ramp Network dan Stripe.
Muat turun World App dan cari Ruangan World berhampiran anda. World App kini tersedia di lebih 150 negara di seluruh dunia.
Sokongan langsung tersedia dalam Tetapan > Sokongan World App. Sekiranya anda menghadapi masalah mengakses ke tab Tetapan, hanya goncangkan sahaja peranti anda beberapa kali dan kemudian pilih 'Laporkan Masalah'. Anda juga boleh lawati Pusat Bantuan World App pada bila-bila masa untuk mencari jawapan kepada soalan lazim.
Orb
Orb ialah peranti sumber terbuka yang selamat, digunakan untuk mengesahkan anda adalah manusia unik tanpa memerlukan sebarang maklumat peribadi. Orb mengesahkan keunikan anda sebagai manusia dengan mengambil imej wajah dan mata anda sewaktu proses pengesahan World ID anda (imej-imej ini kemudiannya akan dipadamkan secara lalai setelah Orb menghantarnya ke peranti anda). Ini merupakan langkah asas dan bahagian penting dalam memastikan tiada sesiapa yang mendaftar World ID dan disahkan oleh Orb lebih daripada sekali.
Maklumat tambahan mengenai Orb boleh didapati di blog ini.
Orb digunakan untuk mengesahkan kemanusiaan dan keunikan seseorang sebagai sebahagian daripada protokol World. Proses ini bermula dengan memastikan individu yang berada di hadapannya ialah manusia sebenar. Seterusnya, imej iris mata akan diubah menjadi bentuk abstrak dan disulitkan secara kekal ke dalam fragmen tanpa nama yang diproses oleh pihak bebas untuk menentukan individu tersebut benar-benar unik. Selepas itu, semua imej dan imej terbitan akan dibungkus, disulitkan serta “ditandatangani” oleh Orb bagi menjamin ketulenan dan keselamatan data sebelum dihantar ke telefon individu melalui pelayan belakang Orb (adalah penting untuk mengetahui bahawa pelayan belakang ini tidak dapat menyahsulit data tersebut). Semua imej ini kemudian dipadamkan daripada Orb. Bagi mengutamakan privasi, keseluruhan proses pengesahan kemanusiaan dijalankan sepenuhnya pada Orb itu sendiri tanpa menghantar sebarang data ke pelayan belakang.
Sesiapa sahaja boleh mengesahkan kemanusiaannya di Orb tanpa memberikan maklumat seperti nama, alamat emel, nombor telefon, profil sosial dan sebagainya.
Tidak semua penanda kemanusiaan adalah sama, dan tahap kebergunaannya boleh jadi berbeza-beza bergantung pada faktor seperti entropi dan kebolehpercayaan pada skala besar. Biometrik iris terutamanya, amat sesuai untuk projek ini kerana sifatnya yang melindungi privasi. Secara khusus, iris mata mempunyai lebih banyak butiran rawak dan unik berbanding cap jari atau wajah, serta kurang terjejas oleh faktor luaran. Oleh itu, biometrik iris telah dikenal pasti sebagai kaedah paling selamat dari segi pemeliharaan privasi dan mempunyai rintangan paling tinggi terhadap penipuan sewaktu mengesahkan identiti dan keunikan seseorang. Tambahan pula, adalah jauh lebih mudah untuk mencuri atau memalsukan cap jari seseorang berbanding corak iris mata mereka.
Tidak. Orb hanya mengambil imej wajah dan mata pengguna. Selain itu, Orb mematuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh piawaian antarabangsa yang turut merangkumi keselamatan mata (IEC-62741).
Teknologi yang digunakan oleh Orb untuk mengesahkan keunikan dan kemanusiaan adalah terbuka kepada orang ramai untuk semakan dan maklum balas. World (termasuk World Foundation) akan terus berusaha dalam memastikan keselamatan dan privasi sentiasa menjadi teras kepada setiap kemajuan yang dilakukan.
Orb tersedia di seluruh dunia. Muat turun World App atau cari Orb yang berhampiran dengan anda di sini.
Tiada sebarang data daripada pengesahan World ID anda yang disimpan dalam Orb.
World adalah bersifat peribadi dari segi reka bentuk dan dibina berasaskan program privasi yang kukuh serta tidak berkompromi, bagi membolehkan manusia yang telah disahkan mendapat akses kepada barangan dan perkhidmatan melalui penggunaan akuan pengesahan kemanusiaan yang memelihara privasi. Semua foto dan foto terbitannya akan dibungkus, disulitkan serta ditandatangani oleh Orb bagi menjamin ketulenan dan keselamatan data, sebelum dihantar ke telefon pengguna melalui pelayan belakang Orb (penting untuk diketahui bahawa pelayan belakang ini tidak dapat menyahsulit data tersebut). Semua foto kemudian akan dipadamkan daripada Orb.
Tidak. Orb mengambil imej wajah dan mata seseorang hanya untuk memastikan kemanusiaan dan keunikan. Gambar-gambar ini tidak disimpan di Orb tetapi dihantar ke peranti pengguna.
Apa yang tinggal hanyalah abstraksi foto mata yang disulitkan secara berterusan dan terpecah yang tidak dipautkan kepada dompet atau akaun World App seseorang (baca lebih lanjut tentang AMPC dalam hantaran blog).
Orb dilengkapi dengan unit pemprosesan berkuasa tinggi yang mampu menjalankan beberapa rangkaian neural secara serentak dalam masa nyata. Ini membolehkannya mengesahkan kemanusiaan seseorang secara setempat pada peranti tanpa perlu memproses gambar yang tidak disulitkan di pelayan belakang Orb.
Seterusnya, semua foto dan foto terbitan akan dibungkus, disulitkan dan ditandatangani oleh Orb bagi menjamin ketulenan dan keselamatan data, sebelum dihantar ke telefon pengguna melalui pelayan belakang Orb (penting untuk diketahui bahawa pelayan belakang ini tidak dapat menyahsulit data tersebut). Semua foto kemudiannya akan dipadamkan daripada Orb.
Begitu juga dengan maklumat iris, tiada sebarang maklumat yang disimpan oleh World Foundation atau Tools for Humanity. Sebaliknya, foto iris diabstraksikan menjadi kod berangka (baca lebih lanjut mengenainya dalam dokumentasi pelaksanaan teknikal), yang kemudiannya dipecahkan secara kriptografi kepada fragmenrawak (baca lebih lanjut mengenai perkara ini dalam blog kami tentang AMPC). "Rawak" di sini bermaksud, walaupun imej iris yang sama digunakan sebagai input, fragmen yang dihasilkan akan berbeza setiap kali. Oleh itu, fragmen ini adalah sepenuhnya tanpa nama kerana ia tidak mendedahkan sebarang maklumat dengan sendirinya. Namun, usaha kami tidak berhenti di situ — bahagian berbeza daripada fragmen tersebut akan disimpan pula oleh pihak bebas yang dipercayai umum (contohnya, universiti awam). Ini untuk memastikan bahawa fragmen tersebut tidak akan digabungkan semula.
Selaras dengan komitmen World terhadap perlindungan privasi, Orb mempunyai ciri keselamatan canggih yang dapat mencegah perdayaan, gangguan atau penggodaman.
Setiap Orb disediakan dengan kunci peribadi yang disimpan dalam perkakasan selamat, yang digunakan untuk mengesahkan Orb dan menandatangani mesej penting. Algoritma pencegahan penipuan berdasarkan sensor multispektrum dijalankan secara setempat pada peranti untuk privasi maksimum. Selain itu, pasukan penggodam 'whitehat' yang menyokong World sentiasa menguji peranti tersebut, dan beberapa pasukan berusaha untuk meningkatkan lagi keselamatan Orb setiap hari.
Ya. World komited untuk menjadikan seberapa banyak teknologinya sebagai sumber terbuka dan menjadikan rangkaian sebagai terdesentralisasi sepenuhnya. Ini dilakukan bukan sahaja untuk ketelusan dan keselamatan, tetapi juga bagi membolehkan pasukan lain membina peranti untuk World pada masa hadapan.
Sebagai langkah penting, semua fail kejuruteraan berkaitan perkakasan yang relevan untuk versi Orb terkini telah diterbitkan dalam repositori GitHub. Anda boleh memuat turun Eagle (PCB) untuk melihat fail tersebut dan menggunakan penonton CAD Autodesk secara percuma.
Semua fail diterbitkan di bawah Lesen Penggunaan Bertanggungjawab (Responsible Use License) World Network, yang berasaskan kepada Lesen Sumber Terbuka MIT dan diinspirasikan oleh BSL Uniswap dan BOSL Electric Coin Co.. Lesen ini mengimbangi ketelusan dan terdesentralisasi sambil mencegah pengambilalihan dan mengurangkan risiko di mana teknologi World mungkin digunakan dengan cara yang memudaratkan. Firmware juga, sekiranya boleh dan tidak menjejaskan keselamatan, akan dijadikan sumber terbuka atau diterbitkan di bawah Lesen Penggunaan Bertanggungjawab pada masa akan datang.
Tidak. Di negara di mana World App tersedia, ianya adalah percuma untuk digunakan dan tidak memerlukan World ID yang disahkan.
Ya. Operator World telah berusaha melalui pengesahan dalam aplikasi dan secara peribadi untuk memastikan hanya orang dewasa sahaja yang mempunyai akses kepada World. Ini bermaksud, seseorang individu mesti berumur sekurang-kurangnya 18 tahun atau melebihi umur dewasa yang ditetapkan di negara masing-masing.
Operasi World
Orb kini tersedia di semakin banyak negara. Muat turun World App atau cari Orb yang berhampiran dengan anda di sini.
Operator World ialah individu yang ditugaskan untuk mengendalikan Orb dalam komuniti masing-masing. Mereka boleh memperoleh Token WLD dengan memperkenalkan World serta membantu orang ramai mengesahkan World ID mereka melalui Orb. Operator bukanlah pekerja kepada World, World Foundation, atau Tools for Humanity. Mereka menjalankan operasi secara bebas namun diwajibkan mematuhi Kod Tatakelakuan yang ketat, yang memberi penekanan kepada pematuhan undang-undang serta perlindungan terhadap orang awam.
Ketahui lebih lanjut tentang Operator World
Pasukan Operator World mungkin dapat dilihat di lokasi yang sering anda kunjungi. Individu-individu ini memudahkan proses pengesahan World ID dengan membantu pengguna memuat turun World App, memberikan bantuan dalam penyediaan akaun, mengesahkan keunikan individu melalui Orb serta menyediakan bahan pendidikan. World juga menawarkan sokongan 24/7 kepada pengguna melalui pusat bantuan dalam talian dan ejen sokongan pelanggan secara langsung dalam World App (Tetapan > Sokongan > Hubungi Sokongan).
Operator Komuniti mengendalikan Orb layan diri dalam komuniti mereka supaya semua orang boleh mendapat manfaat daripada World. Operator Komuniti beroperasi secara individu tanpa sebarang lokasi formal, manakala Operator World mungkin mempunyai beberapa lokasi dan pasukan.
World adalah untuk setiap manusia. Rangkaian ini diwujudkan bagi memberi akses kepada semua orang terhadap ekonomi global dan ia kini beroperasi di pelbagai negara merentasi lima benua. Kepelbagaian ini amat penting bagi memastikan perkhidmatan yang adil untuk seramai mungkin orang dan teknologi ini mesti mampu berfungsi walaupun di kawasan terpencil dan kurang mendapat perkhidmatan.
Privasi Data & Pematuhan
World, World Foundation mahupun Tools for Humanity tidak menyimpan sebarang data peribadi yang diperolehi daripada proses pengesahan Orb individu. Foto yang diambil oleh Orb disulitkan, dihantar ke peranti individu dan dipadam serta-merta dari Orb.
Tidak. World Foundation dan Tools for Humanity tidak sesekali dan tidak akan pernah berkongsi sebarang data pengesahan Orb (termasuk data iris) dengan sesiapa pun. Baca lebih lanjut tentang komitmen World terhadap privasi dalam Notis Privasi.
Tidak. World Foundation dan Tools for Humanity tidak pernah dan tidak akan menjual sebarang data peribadi (termasuk data biometrik). Baca lebih lanjut mengenai pendekatan World terhadap pengumpulan data, pengendalian dan privasi data dalam Notis Privasi.
Anda boleh memadam data profil dan akaun World App anda pada bila-bila masa. Untuk berbuat demikian, pergi ke Tetapan > Keselamatan & Privasi. Untuk makluman anda, pemadaman akaun anda adalah tindakan kekal dan anda tidak akan dapat memulihkan semula maklumat yang telah dipadam.
Ya. Apa-apa data peribadi yang dikongsi dengan World akan disulitkan semasa penghantaran dan ketika disimpan. Baca lebih lanjut tentang pendekatan World terhadap pengumpulan data, pengendalian dan privasi dalam Notis Privasi.
Data peribadi yang digunakan untuk mengesahkan kemanusiaan anda kekal di peranti anda. Jika anda mahu, anda boleh berkongsi maklumat tersebut dengan Tools for Humanity bagi tujuan memperbaiki teknologi bukti kemanusiaan World supaya ia dapat berfungsi dengan tepat untuk semua orang; namun, tindakan ini tidak diwajibkan dan boleh dibatalkan.
Untuk maklumat lanjut tentang cara memilih untuk menyertai latihan data, rujuk panduan langkah demi langkah ini, yang menerangkan mengenai cara mengaktifkan ciri tersebut dalam World App.
Sebelum pengesahan Orb dijalankan di mana-mana negara, penasihat undang-undang tempatan akan dilantik untuk menyemak World dan memberikan nasihat. Semakan ini adalah komprehensif, dan meliputi perlindungan data dan peraturan mata wang kripto, di samping topik lain seperti perkhidmatan perkerja, pensijilan perkakasan, pemasaran dan perlindungan pengguna.Maklumat ini kemudian digunakan untuk menyesuaikan operasi pengesahan mengikut undang-undang tempatan.
World Foundation dan Tools for Humanity (TFH) komited untuk bekerjasama dengan badan kawal selia di seluruh dunia bagi memastikan World terus memenuhi keperluan kawal selia dan orang awam diberikan perkhidmatan yang selamat, terjamin serta telus.
Sebagai sebahagian daripada komitmen ini, TFH terlibat secara mendalam dengan undang-undang tempatan jauh sebelum Orb yang pertama tiba di sesebuah negara, bekerja rapat dengan pegawai yang dilantik, pihak ketiga, dan persatuan yang berkaitan bagi memastikan keterlihatan penuh ke atas World, World Foundation, dan TFH.
Baik World mahupun Tools For Humanity tidak menyimpan sebarang data peribadi hasil pengesahan Orb. Secara asasnya, data tersebut hanya kekal disimpan di dalam peranti milik pengguna.
World mematuhi sepenuhnya Peraturan Perlindungan Data Umum Eropah (GDPR) serta direka untuk menepati semua undang-undang dan peraturan yang mengawal pengumpulan serta pemindahan data biometrik di negara tempat ia ditawarkan. Data biometrik tidak akan sekali-kali dikumpul daripada mana-mana pengguna tanpa kebenaran jelas daripada pengguna tersebut. Borang kebenaran data biometrik World menjelaskan dengan terperinci tujuan pengumpulan dan penggunaannya. Selain itu, individu bawah umur tidak dibenarkan menyertai projek ini. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Terma Penggunaan World.
Di Kesatuan Eropah, Tools for Humanity dan World Foundation berada di bawah penyeliaan Bavarian State Office untuk Pengawasan Perlindungan Data (Bayerisches Landesamt für Datenschutz). Baca lebih lanjut tentang pendekatan yang diambil terhadap pengumpulan, pengendalian dan privasi data dalam Notis Privasi dan blog.
Tidak, World bukanlah Penyedia Perkhidmatan Aset Maya (“VASP”) atau tergolong dalam kategori yang serupa. Apabila seseorang memuat turun World App dan membuat akaun, mereka akan menerima dompet kripto penjagaan sendiri. Sebagai penyedia dompet penjagaan sendiri, Tools for Humanity tidak memegang sebarang aset atau dana kripto bagi pihak pengguna dan tidak menyediakan perkhidmatan pertukaran.
Sumber tambahan mengenai privasi boleh didapati melalui pautan berikut:
Maklumat yang lebih menyeluruh tentang semua aspek World boleh didapati dalam Kertas putih World.
Lain-lain
Ya. World App tersedia di Amerika Syarikat. Penduduk Amerika Syarikat (kecuali New York) boleh mengesahkan World ID mereka, mengakses keseluruhan World App, dan boleh memilih untuk menuntut WLD.
World ialah protokol sumber terbuka terdesentralisasi yang disokong oleh komuniti pembangun, ahli ekonomi dan ahli teknologi global yang komited untuk membina Rangkaian Manusia Sebenar. World menawarkan bukti kemanusiaan, kewangan dan perhubungan yang universal untuk setiap manusia.
World Foundation (Foundation) berperanan sebagai penjaga awal protokol ini. Mandat utamanya adalah untuk menyokong dan membangunkan World agar mampu beroperasi secara berdikari. Foundation melaksanakan peranan ini dengan memudahcara proses desentralisasi secara berperingkat, sejajar dengan misi dan komitmen World. Secara praktikal, Foundation menyumbang melalui penetapan tadbir urus protokol, mekanisme token, program geran, hal ehwal komuniti, dan lain-lain inisiatif berkaitan. Foundation ini juga menyediakan hala tuju bagi perkhidmatan yang dijalankan oleh Tools for Humanity berhubung dengan protokol tersebut.
Tools for Humanity (TFH) ialah syarikat teknologi yang membangunkan penyelesaian untuk manusia dalam era AI, dengan ibu pejabat di San Francisco dan Munich, serta anak syarikat milik penuh di Bavaria, Jerman. TFH telah mengambil langkah awal dalam membangunkan protokol ini dan menyokong fasa ujian beta berbilang tahun. Seterusnya, TFH memindahkan protokol tersebut kepada World Foundation yang bebas sebelum pelancarannya pada akhir Julai 2023. TFH akan terus membangunkan alatan penting yang menyokong World dan inisiatif seterusnya.
Pada masa ini, TFH menyediakan perkhidmatan kepada World Foundation. Perkhidmatan ini termasuk pembangunan perisian, pembuatan perkakasan dan sokongan logistik operasi pasaran. TFH ditadbir sepenuhnya secara berasingan daripada World Foundation.
World dibina di atas blockchain Ethereum dengan memanfaatkan teknologi Lapisan 1 dan Lapisan 2 bagi meningkatkan kecekapan. Pada 15 September 2022, blockchain Ethereum telah melalui proses “The Merge”, iaitu satu peralihan besar yang mengurangkan penggunaan tenaga operasi Ethereum lebih daripada 99.95% hanya dalam satu malam. Untuk maklumat lanjut mengenai “The Merge”, sila rujuk blog Ethereum.
Memandangkan World ialah protokol sumber terbuka, ia disokong oleh komuniti global yang terdiri daripada pembangun, individu, ahli ekonomi dan pakar teknologi. Sesiapa sahaja boleh menggunakan kemahiran mereka untuk menyumbang kepada World dengan terlibat di GitHub World, membina Aplikasi Mini, menjadi Operator World atau Operator Komuniti, atau memohon geran daripada World Foundation. Bagi individu yang berminat untuk bekerja secara khusus di World Foundation atau menyertai Tools for Humanity, sila lawati halaman kerjaya untuk mendapatkan maklumat tentang jawatan yang ditawarkan.