Apa itu Moltbook? Apa itu OpenClaw? Mengapa Bukti Kemanusiaan Kini Penting

1 Februari 2026 Bacaan 5 Minit
Ikon watak merah berpiksel pada latar belakang biru muda berbintik-bintik

Ringkasan

Moltbook, OpenClaw, dan Keperluan Mendesak untuk Bukti Kemanusiaan Dalam Talian.

Moltbook dan OpenClaw (yang dahulunya dikenali sebagai Clawdbot dan Moltbot) kini sedang menjadi bualan ramai dan kedua-duanya telah mendedahkan satu realiti penting.

Sistem AI kini bukan lagi sekadar alat di belakang tabir. Keupayaan sistem ini untuk menyerupai dan bertindak seperti manusia sebenar semakin ketara. Dalam beberapa keadaan, sistem AI ini telah berupaya melepasi sistem pengesahan identiti bank dan platform media sosial tertentu, bahkan turut berjaya menembusi sistem captcha yang paling canggih.

Keadaan ini menunjukkan betapa teknologi bukti kemanusiaan bakal menjadi antara infrastruktur terpenting untuk sistem ekonomi digital dan internet yang boleh dipercayai.

Internet sedang berubah

Bagi yang belum tahu, anda mungkin ada terlihat beberapa istilah pelik seperti “Moltbook” atau “OpenClaw” yang kerap kali muncul sejak akhir-akhir ini sama ada pada tangkapan skrin, tajuk berita, atau di ruangan sembang kumpulan. Anda mungkin tertanya-tanya apa yang sedang diperkatakan oleh orang ramai ini.

Istilah-istilah ini muncul hasil daripada usaha seorang individu yang telah membina pembantu peribadi AI untuk meneroka apa yang mampu dilakukan oleh ejen AI untuk anda. Peningkatan populariti bagi Moltbook dan OpenClaw ini telah menunjukkan satu anjakan besar yang semakin disedari oleh orang ramai dalam dunia nyata, iaitu kewujudan akaun-akaun AI yang semakin sukar dibezakan daripada manusia.

Sukar dikesan kepalsuannya. Tidak menunjukkan niat jahat yang jelas. Cuma hadir.

Moltbook dan OpenClaw bukanlah sebuah jenama atau produk. Kedua-duanya adalah isyarat budaya. Kedua-duanya muncul pada detik di mana internet dan cara kita berinteraksi dalam talian sedang berubah.

Memahami apakah itu 'Moltbook', 'OpenClaw', & Bukti Kemanusiaan

Apa itu Moltbook?

Moltbook ialah sebuah rangkaian media sosial yang kelihatan dan berfungsi seperti Reddit tetapi dikendalikan sepenuhnya oleh bot AI. Dan, ia sedang berkembang pesat. Akaun-akaun yang dijana oleh AI ini boleh menukar personaliti dengan mudah. Nada, pendapat, gaya, malah latar belakang sesuatu penulisan boleh berubah dengan pantas, dan kadangkala kesemua ini boleh berlaku dalam ruang lingkup perbualan yang sama. Perbualan tersebut sangat menyerupai interaksi dengan moderator manusia seperti yang berlaku di platform media sosial lain, sehingga ia terasa agak menyeramkan.

Salah satu contoh interaksi agen AI di platform seperti Moltbook.

Apa yang paling menonjol mengenai sistem ini adalah dari segi fleksibiliti mereka. Sistem-sistem ini tidak mempunyai identiti tunggal. Ia boleh menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan dengan lebih pantas daripada mana-mana manusia. Darwin pasti berasa terpinga-pinga. Atau mungkin jatuh pengsan.

Pada kebanyakan pengguna media sosial, akaun jenis Moltbook ini akan kelihatan seolah-olah seperti seorang manusia yang berfikiran mendalam, peramah, dan dapat memahami perasaan. Selalunya tiada tanda jelas yang menunjukkan bahawa ia bukan manusia.

Penciptaan dan kemajuan Moltbook bukan sahaja menunjukkan kepada kita apa yang mampu dilakukan oleh ejen AI, malah ia memberikan gambaran tentang sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku. Pada masa yang sama, ia membuktikan betapa kritikalnya keperluan terhadap teknologi dan infrastruktur pembuktian manusia.

Apa itu OpenClaw?

OpenClaw merujuk kepada ejen AI peribadi yang boleh menguruskan pelbagai tugasan seperti mengosongkan peti masuk e-mel, menghantar mesej, menguruskan kalendar, melakukan daftar masuk penerbangan, dan banyak lagi. Segalanya boleh dilakukan melalui WhatsApp, Telegram, atau mana-mana aplikasi sembang sedia ada, justeru menjadikannya sangat mudah diakses oleh sesiapa sahaja.

Hasil daripada teknologi OpenClaw ini, muncul pula bot berkuasa AI yang terlibat secara aktif dalam perbincangan dalam talian. Bot-bot ini dapat berinteraksi, berhujah, menyokong, atau menyanggah, serta meningkatkan jangkauan kandungan dalam skala yang amat luas.

Tidak seperti bot-bot terdahulu yang hanya mengulang teks atau menyebar spam, sistem moden ini boleh mengikuti konteks perbualan dan memberi maklum balas yang mempunyai nuansa. Mereka boleh menyertai perbualan dengan begitu semula jadi, malah kadangkala mampu berinteraksi dengan puluhan atau ratusan orang secara serentak.

Perbezaan utama bukanlah kecerdasan, tetapi kehadiran.

Mengapa Moltbook dan OpenClaw penting?

Kedua-dua sistem ini membuktikan bahawa sempadan yang memisahkan antara manusia dengan mesin ketika berinteraksi dalam talian kini semakin pudar dengan pantas.

Hantaran World mengenai nilai kemanusiaan dalam era AI telah mengupas bagaimana kebanyakan sistem digital kita berpegang kepada satu andaian asas — iaitu setiap kali seseorang memberi komen, melakukan transaksi, mengundi, atau berkarya, kita akan mengangap terdapat individu sebenar di sebalik tindakan tersebut.

Andaian itu kini semakin goyah.

Adakah sistem AI mampu menembusi pemeriksaan identiti?

Dalam beberapa kes, ya.

Pihak yang menggunakan bantuan AI kini semakin berupaya melepasi proses pemeriksaan identiti seperti proses 'Kenali Pelanggan Anda' atau (KYC), iaitu satu prosedur tradisional yang digunakan oleh bank, syarikat teknologi kewangan (fintech), dan institusi kewangan lain. Ini bukanlah kerana institusi atau platform terbabit cuai. Hal ini terjadi kerana kebanyakan sistem 'KYC' direka untuk era di mana penipuan identiti hanya melibatkan dokumen palsu atau kecurian kata laluan, dan bukannya personaliti palsu yang beroperasi secara besar-besaran.

Apabila sistem AI mampu menghasilkan dokumen, foto, video, dan corak tingkah laku yang sangat meyakinkan, sistem semakan yang hanya tertumpu kepada kertas kerja atau dokumen yang dihantar secara digital akan mula hilang keberkesanan dengan pantas.

Penting untuk diingatkan, ini bukanlah amaran tentang kegagalan atau kejatuhan sesuatu sistem secara meluas. Kebanyakan institusi sedang sedaya upaya menyesuaikan diri dengan pantas. Namun, ini merupakan satu peringatan bahawa pengesahan identiti semata-mata tidak semestinya memberi jawapan kepada persoalan asas: adakah benar-benar wujud seorang manusia yang nyata dan unik di sebalik kesemua tindakan di sini?

Mengapa penting untuk membezakan antara manusia dan mesin?

Sistem kewangan, seperti juga sistem sosial, bergantung pada keadilan dan kepercayaan.

Sesuatu had, akses, peraturan pematuhan dan perlindungan direka berdasarkan idea bahawa satu individu bersamaan dengan satu peserta. Jika perkara ini tidak lagi berlaku, walaupun secara tidak sengaja, sistem akan menjadi sukar untuk diuruskan dan tidak adil.

Di sinilah bukti kemanusiaan diperlukan. Bukan sebagai pengganti untuk sistem 'KYC', tetapi sebagai pelengkap.

Apakah yang dimaksudkan dengan bukti kemanusiaan?

Bukti kemanusiaan ialah kaedah di mana seseorang dapat mengesahkan yang mereka adalah manusia sebenar dan unik tanpa keperluan untuk mendedahkan siapa diri mereka.

Pendekatan World memfokuskan pada pengesahan tanpa nama dan mengutamakan privasi. Anda boleh membuktikan anda adalah manusia tanpa berkongsi nama, sejarah kewangan, atau data peribadi anda. Anda hanya perlu membuktikan kewujudan anda sekali sahaja.

Ini merupakan persoalan yang berlainan daripada identiti. Ia memberi jawapan kepada kehadiran dan bukannya profil.

Secara praktikalnya, bagaimanakah bukti kemanusiaan dapat membantu?

Ia memberikan platform dan institusi satu isyarat tambahan.

Daripada bergantung sepenuhnya kepada dokumen atau analisis perilaku, sesuatu sistem boleh mengemukakan soalan yang lebih mudah di peringkat awal. Adakah interaksi yang sedang berlangsung ini melibatkan manusia yang telah disahkan?

Bukti kemanusiaan ini dapat mengurangkan penipuan, mengehadkan penyalahgunaan, dan menyokong akses yang adil tanpa meningkatkan pengawasan atau memaksa pengguna melepaskan kerahsiaan identiti mereka.

Bagaimana bukti kemanusiaan dapat dikaitkan dengan Moltbook dan OpenClaw?

Moltbook dan OpenClaw menunjukkan kemungkinan yang boleh berlaku apabila kehadiran manusia sekadar dianggap ada, dan bukannya disahkan.

Perbualan menjadi lebih sukar untuk ditafsirkan. Pengaruh menjadi lebih mudah untuk diperluaskan secara besar-besaran. Kepercayaan menjadi semakin rapuh.

Bukti kemanusiaan tidak akan dapat menghentikan AI. Namun, ia dapat mengembalikan keseimbangan dengan memberikan manusia satu kaedah untuk mereka berpaut di ruang digital.

Adakah Moltbook dan OpenClaw mewakili titik perubahan?

Mungkin…

Setiap fasa utama internet memerlukan asas yang baharu. Pembayaran memerlukan keselamatan. Komunikasi memerlukan penyulitan.

Kini, dalam era di mana AI mampu mengambil bahagian dengan begitu yakin di mana-mana sahaja manusia berada, internet memerlukan cara baharu untuk membuktikan sifat kemanusiaan tanpa mengorbankan privasi.

Moltbook dan OpenClaw bukanlah pencetus kepada perubahan ini. Kedua-duanya hanyalah menjadikan perkara ini lebih jelas kepada orang ramai.

Ini bukanlah alasan untuk berasa takut. Ini ialah peluang untuk membina sistem yang lebih baik untuk manusia dalam era AI.