
Apakah yang dimaksudkan dengan 'Pembunuh Ethereum'?
Istilah "pembunuh Ethereum" merujuk kepada blockchain yang bersaing secara langsung dengan Ethereum. Rantaian pesaing ini memiliki banyak ciri yang sama seperti Ethereum, namun biasanya menggunakan teknologi yang berbeza dengan dakwaan dapat memperbaiki kelemahan Ethereum. Selalunya, “pembunuh Ethereum” akan menawarkan kelajuan transaksi yang lebih pantas dan yuran gas yang lebih rendah, iaitu aspek yang menjadi cabaran bagi Ethereum apabila permintaan melonjak tinggi pada akhir tahun 2021.
Semua blockchain pesaing ini menggunakan teknologi kontrak pintar. Kontrak pintar ialah program berasaskan kod yang melaksanakan fungsi yang telah ditetapkan apabila syarat tertentu dipenuhi. Oleh kerana kontrak pintar dijalankan melalui kod, ia membolehkan transaksi dilakukan tanpa memperolehi kepercayaan antara pihak dalam DeFi (kewangan terdesentralisasi).
Seperti pesaing utamanya, "pembunuh Ethereum" memberi tumpuan dalam menggalakkan pembangun Web3 untuk mencipta dApp pada blockchain mereka. Selain dApp DeFi seperti pertukaran terdesentralisasi (DEX), pesaing Ethereum juga mempunyai pelbagai projek Web3 lain seperti pasaran NFT dan permainan berkonsepkan 'play-to-earn'.
Contoh pesaing Ethereum
Ethereum telah memberi inspirasi kepada ramai pembangun untuk mencipta blockchain kontrak pintar yang dapat berdaya saing. Namun begitu, hanya segelintir "Pembunuh Ethereum " sahaja yang berjaya menjadi peneraju pasaran kripto. Antara “pembunuh Ethereum” terbesar mengikut permodalan pasaran ialah Solana, Cardano, Polkadot, Avalanche, dan Algorand. Semua projek ini menawarkan yuran gas yang lebih rendah serta mampu memproses lebih banyak transaksi sesaat berbanding Ethereum. Walau bagaimanapun, dari segi keselamatan dan desentralisasi, Ethereum mungkin masih mempunyai kelebihan teknologi yang lebih kukuh. Selain itu, teknologi baharu yang serasi dengan ekosistem Ethereum turut diperkenalkan baru-baru ini, sekali gus memperkukuhkan keseluruhan rangkaiannya.
Ethereum melawan pesaing: Adakah Ethereum akan bertahan?
Walaupun semakin banyak pembunuh Ethereum muncul, kebanyakan penganalisis kripto tidak percaya yang Ethereum akan "terkubur" dalam masa terdekat. Sebagai blockchain kontrak pintar pertama di dunia, Ethereum mempunyai kelebihan besar berbanding pesaingnya. Kebanyakan kripto dalam Web3 masih tertumpu kepada protokol Ethereum, dan terdapat komuniti pembangun serta pengesah yang besar di blockchain Ethereum.
Sehingga masa artikel ini ditulis, Ethereum mencatatkan nilai aset terkunci sebanyak $31.5 bilion dalam protokol DeFi-nya, yang mewakili lebih daripada 50% daripada jumlah nilai terkunci (TVL) dalam semua aplikasi DeFi.
Walaupun Ethereum mempunyai komuniti yang kukuh, ia menghadapi isu penskalaan yang ketara. Kebanyakan pengganti Ethereum menarik pengguna dan pembangun dengan menjanjikan yuran yang lebih murah dan transaksi yang lebih laju. Walaupun dengan naik taraf Ethereum kepada PoS baru-baru ini, blockchain utama Ethereum masih dianggap lebih perlahan dan mahal berbanding alternatif lain.
Tambahan pula, apabila lebih banyak rangkaian seperti Polkadot memperkenalkan kebolehoperasian blockchain, tidak jelas sama ada Ethereum akan dapat mengekalkan kelebihan daya saingnya. Beberapa peminat kripto melihat kebolehoperasian sebagai masa depan Web3, yang bermaksud terdapat kemungkinan di mana pesaing Ethereum akan mendapat bahagian TVL yang lebih besar.
Sama ada Ethereum kekal sebagai blockchain kontrak pintar yang dominan akan banyak bergantung kepada kejayaan naik taraf Ethereum yang terkini.
Penyelesaian penskalaan Lapisan-2 Ethereum
Selain daripada naik taraf Ethereum selepas "The Merge", terdapat lebih banyak blockchain lapisan-2 yang telahpun menjadikan interaksi dengan Ethereum lebih murah dan pantas. Tidak seperti pembunuh ETH, blockchain lapisan-2 ini dibina di atas Ethereum dan memberi tumpuan dalam menjadikan blockchain utama ini lebih mudah digunakan. Ini termasuk produk seperti Polygon, Arbitrum dan Optimism.
Pertumbuhan dalam penyelesaian penskalaan Lapisan-2 mungkin akan mengekalkan daya saing Ethereum walaupun pembunuh ETH mencuri sebahagian daripada pegangan pasaran kripto.
Penutup
Kewujudan lebih banyak pesaing Ethereum tidak dapat dinafikan, tetapi Ethereum masih mendominasi sebagai platform kontrak pintar yang utama. Pembunuh ETH mungkin mempunyai kelajuan transaksi yang lebih pantas dan yuran yang lebih rendah, tetapi setiap satunya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Selain itu, apabila Ethereum bergerak ke hadapan selaras dengan naik taraf yang berlaku selepas 'The Merge', ia mungkin menghapuskan sebahagian daripada kelebihan pesaingnya.
Walaupun Ethereum mungkin kehilangan pegangan pasaran apabila lebih ramai pesaing memasuki pasaran, ia masih mempunyai kelebihan yang ketara dalam ruang kontrak pintar. Selain itu, melalui pertumbuhan dalam penyelesaian penskalaan Lapisan-2, semakin mudah bagi pengguna untuk berinteraksi dengan Ethereum tanpa perlu membayar yuran yang terlalu tinggi.
Di Worldcoin, kami membayangkan masa depan di mana semua blockchain boleh wujud bersama. Peningkatan kerjasama dan komunikasi antara blockchain akan membantu merancakkan inovasi dalam sektor kripto. Untuk memudahkan langkah pertama ini, kami memberikan sebahagian daripada kripto kami kepada setiap individu di dunia secara percuma. Langgan saluran YouTube kami untuk belajar lebih lanjut tentang ekosistem kripto.