Istilah "pembunuh Ethereum" merujuk kepada blockchain yang bersaing secara langsung dengan ekosistem Ethereum. Rangkaian pesaing ini membina infrastruktur yang mempunyai ciri-ciri serupa dengan Ethereum, namun kebiasaannya menggunakan teknologi berbeza yang didakwa mampu mengatasi kelemahan Ethereum. Lazimnya, 'pembunuh Ethereum' menawarkan kepantasan transaksi yang lebih tinggi serta yuran gas yang lebih rendah— iaitudua aspek kritikal yang menjadi cabaran utama Ethereum sewaktu lonjakan permintaan pada penghujung tahun 2021.
Semua blockchain pesaing ini menggunakan teknologi kontrak pintar. Kontrak pintar ialah program berasaskan kod yang melaksanakan fungsi yang telah ditetapkan apabila syarat tertentu dipenuhi. Memandangkan kontrak pintar dijalankan melalui kod, ia membolehkan transaksi tanpa kepercayaan berlaku dalam DeFi (kewangan terdesentralisasi).
Seperti pesaing utamanya, "pembunuh Ethereum" memberi tumpuan kepada menggalakkan pembangun Web3 untuk membina dApp pada blockchain mereka. Selain dApp DeFi seperti pertukaran desentralisasi (DEX), pesaing Ethereum juga mempunyai pelbagai projek Web3 lain seperti pasaran NFT dan permainan berkonsepkan 'play-to-earn'.
Ethereum telah memberi inspirasi kepada ramai pembangun untuk mencipta blockchain kontrak pintar yang dapat berdaya saing. Namun begitu, hanya segelintir "Pembunuh Ethereum " sahaja yang berjaya menjadi peneraju pasaran kripto. Antara “pembunuh Ethereum” terbesar mengikut permodalan pasaran ialah Solana, Cardano, Polkadot, Avalanche, dan Algorand. Semua projek ini menawarkan yuran gas yang lebih rendah serta mampu memproses lebih banyak transaksi sesaat berbanding Ethereum. Walau bagaimanapun, dari segi keselamatan dan desentralisasi, Ethereum mungkin masih mempunyai kelebihan iaitu dari segi teknologi yang lebih kukuh. Selain itu, teknologi baharu yang serasi dengan ekosistem Ethereum turut diperkenalkan baru-baru ini, sekali gus memperkukuhkan keseluruhan rangkaiannya.
Walaupun semakin banyak pembunuh Ethereum muncul, kebanyakan penganalisis kripto tidak percaya yang Ethereum akan "terkubur" dalam masa terdekat. Sebagai blockchain kontrak pintar pertama di dunia, Ethereum mempunyai kelebihan besar berbanding pesaingnya. Kebanyakan kripto dalam Web3 masih tertumpu kepada protokol Ethereum, dan terdapat komuniti pembangun serta pengesah yang besar di blockchain Ethereum.
Sehingga masa artikel ini ditulis, Ethereum mencatatkan nilai aset terkunci sebanyak $31.5 bilion dalam protokol DeFi-nya, yang mewakili lebih daripada 50% daripada jumlah nilai terkunci (TVL) dalam semua aplikasi DeFi.
Walaupun Ethereum mempunyai komuniti yang kukuh, ia menghadapi isu penskalaan yang ketara. Kebanyakan pengganti Ethereum menarik pengguna dan pembangun dengan menjanjikan yuran yang lebih murah dan transaksi yang lebih laju. Walaupun dengan naik taraf Ethereum kepada PoS baru-baru ini, blockchain utama Ethereum masih dianggap lebih perlahan dan mahal berbanding alternatif lain.
Selain itu, apabila semakin banyak rantaian seperti Polkadot memperkenalkan kebolehoperasian blokchain, tidak jelas sama ada Ethereum akan mengekalkan kelebihan daya saingnya. Sesetengah peminat kripto melihat kebolehoperasian sebagai masa depan Web3, yang mungkin bermaksud pesaing Ethereum akan memperoleh bahagian TVL yang lebih besar.
Sama ada Ethereum kekal sebagai blockchain kontrak pintar yang dominan akan banyak bergantung kepada kejayaan naik taraf Ethereum yang terkini.
Selain daripada naik taraf Ethereum selepas "The Merge", terdapat lebih banyak blockchain lapisan-2 yang telahpun menjadikan interaksi dengan Ethereum lebih murah dan pantas. Tidak seperti pembunuh ETH, blockchain lapisan-2 ini dibina di atas Ethereum dan memberi tumpuan dalam menjadikan blockchain utama ini lebih mudah digunakan. Ini termasuk produk seperti Polygon, Arbitrum dan Optimism.
Pertumbuhan penyelesaian penskalaan lapisan-2 mungkin membantu Ethereum kekal berdaya saing walaupun pembunuh Ethereum mencuri sebahagian daripada bahagian pasaran kripto.
Kewujudan lebih banyak pesaing Ethereum tidak dapat dinafikan, tetapi Ethereum masih mendominasi sebagai platform kontrak pintar yang utama. Pembunuh ETH mungkin mempunyai kelajuan transaksi yang lebih pantas dan yuran yang lebih rendah, tetapi setiap satunya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Selain itu, apabila Ethereum bergerak ke hadapan selaras dengan naik taraf yang berlaku selepas 'The Merge', ia mungkin menghapuskan sebahagian daripada kelebihan pesaingnya.
Walaupun Ethereum mungkin kehilangan pegangan pasaran apabila lebih ramai pesaing memasuki pasaran, ia masih mempunyai kelebihan yang ketara dalam ruang kontrak pintar. Selain itu, melalui pertumbuhan dalam penyelesaian penskalaan Lapisan-2, semakin mudah bagi pengguna untuk berinteraksi dengan Ethereum tanpa perlu membayar yuran yang terlalu tinggi.
Di Worldcoin, kami membayangkan masa depan di mana semua blockchain boleh wujud bersama. Peningkatan kerjasama dan komunikasi antara blockchain akan membantu merancakkan inovasi dalam sektor kripto. Untuk memudahkan langkah pertama ini, kami memberikan sebahagian daripada kripto kami kepada setiap individu di dunia secara percuma. Langgan saluran YouTube kami untuk belajar lebih lanjut tentang ekosistem kripto.